Friday, 16 November 2012

Andai Dia Jodohku.


Kemarahannya terhadap Afiq tak dapat ditahan-tahan lagi. Kecurangan Afiq kini jelas di matanya. Dulu dia pekakkan telinganya apabila rakan-rakan menceritakan perihal Afiq yang kerap bersama perempuan lain. Malah, bertukar-tukar.
Kata-kata manis Afiq sebelum ini teggelam bersama kasih sayangnya. Tiada lagi rasa rindu malah perasaan cinta juga lenyap serta-merta. Alina masih bungkam mengenang nasib dan kesetiaannya selama bertahun-tahun hancur menjadi debu. Seleranya juga mati, hanya mampu menelan 3 suapan nasi sudah mematikan seleranya.
                “Sudahlah Lina, aku tak sanggup lihat kau begini. Kenapa siksa diri kau sedangkan lelaki tak guna itu berseronok di luar dengan perempuan lain. Makanlah sedikit, nanti kau jatuh sakit.” Farah cuba memujuk Alina yang makin membisu.
                “Kenapa dia buat aku begini Farah? Tak cukupkah kesetiaanku selama ini. Tak cukupkah kasih sayangku berikan padanya selama ini? Kenapa tergamak dia melukai aku sesakit begini? “ sekali lagi air matanya mencurah-curah. Farah hanya membisu. Dia sedar Alina sangat menyayangi Afiq, segala kata orang dia pekakkan.
                “Sabarlah Lina. Aku tahu kau dah lakukan yang terbaik buat dirinya. Cuma dia yang buta dalam menilai ketulusanmu. Makanlah sedikit, aku suapkan ya?” Farah menyuakan sesudu nasi di bibir Alina. Akhirnya Alina membuka mulutnya dan mengunyah perlahan nasi berlaukkan sup ayam. Terasa pahit sepahit hatinya.

Dani memandang kawannya yang khusyuk melayan facebook. Entah apalah yang menarik sangat hingga membuatkannya tesenyum sendirian.
                “Afiq, kau ni dah kenapa? Angau dengan minah mana pulak” Dani mula bersuara. Afiq memalingkan mukanya.
                “Aku tengok akaun budak junior semalam la. Cun siot!” Afiq menangkat keningnya.
Dani hanya menggelengkan kepalanya. Dani merasakan Afiq tak kesah tentang keadaan Alina yang murung setelah kecurangan Afiq terbongkar. Danilah yang membuka segala rahsia Afiq, dia merasa tak sanggup untuk meilhat Alina diperbodohkan. Gadis itu tulus mencintai Afiq. Bukan nak kata Alina tu tak cantik, ramai lelaki di kolej itu menggilai Alina. Tapi entah macam mana ayat manis si Afiq juga dia telan habis-habisan.
Pagi itu Afiq pergi berjoging bersama Dani di tasik. Disebabkan hari itu hari minggu, jadi kawasan itu agak dipenuhi dengan siswa dan siswi. Tiba-tiba matanya terpandang Alina yang duduk bersendirian di hujung tasik. Alina kelihatan murung sekali. Hatinya terus rasa bagai diragut. Sakitnya bagai disiat-siat.
Tak pernah dia melihat Alina semurung itu. Selama 2 tahun bersama, Alina hanya tertawa riang dengannya. Sukar melihat air mata Alina walaupun setitis. Kali terakhir dia melihat Alina menangis ketika hamster pemberiannya mati. Betapa Alina menghargai pemberiannya.
                ‘Kejamkah aku melukai hatinya. Maafkan aku Alina, aku cuma ingin melihat kau bahagia tanpa aku.’ Afiq tersentak apabila bahunya disentuh Dani.
                “Kau tengok apa lagi orang yang kau buang tu. Dahlah jom pergi sarapan, aku lapar” Dani terus melangkah meninggalkan Afiq kebingungan
                ‘BUANG?’ kata-kata Dani benar-benar terkesan di hatinya.

4 Bulan berlalu

Alina menyarungkan tudung pemberian Farah. Entah kenapa kini hatinya terdetik untuk menutup aurat sedangkan selama ini hatinya masih berbagi untuk melakukan kewajipan itu. Kali terakhir dia memakai tudung ketika di sekolah menengah, 3 tahun dulu. Perasaannya menjadi tenang setelah melihat dirinya di cermin.
                ‘Cantik!’ Alina tersenyum sendiri dan kali ini dia nekad untuk memakai tudung untuk selamanya.
Farah tersenyum bila melihat Alina sedang memakai tudung pemberiannya. Sesungguhnya itu hadiah paling bermakna buat Alina. Wajahnya berbentuk bujur telur, mempunyai alis mata yang menarik makin bertambah berseri-seri apabila memakai tudung.
                “Cantiknya kau Alina. Pertama kali aku melihat gadis secantik kau memakai tudung” Farah memuji Alina. Alina tersipu-sipu malu apabila dipuji sebegitu.
                “Alah kau ni, sajalah tu nak peril aku. Tapi apa-apa pun terima kasih ya untuk hadiah ni. Aku hargai sangat-sangat.” Alina terus memeluk teman baiknya itu. Air matanya menitis perlahan.

Alina menyiapkan tugasannya di perpustakaan memandangkan Farah akan pulang lewat kerana ada aktiviti kelab. Matanya khusuk menatap skrin laptopnya. Dunia luar seolah-olah tak wujud baginya, begitulah sikapnya kalau dah mula tengok laptop. Dari jauh Afiq dan seorang perempuan sedang berbual mesra. Alina langsung tak perasankan Afiq dan perempuan itu, dia tekun menyiapkan tugasannya. Semester ini merupakan semesternya yang terakhir jadi dia harus berusaha untuk mengekalkan keputusan cemerlangnya.
Lehernya berasa lenguh dan dia mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Tiba-tiba matanya terpandang Afiq dan seorang perempuan. Dia tak pernah melihat perempuan itu. Mungkin pelajar baru. Alina tak mahu mengambil pusing tentang apa jua yang Afiq ingin lakukan, mereka sudah tidak ada apa-apa lagi. Afiq tidak memandang ke arahnya, mungkin Afiq tak perasankan dirinya kerana kini dia sudah bertudung. Alina tak mampu meneruskan kerja. Dia mula mengemas perkakasnya
                ‘Alamak! Nak kena jalan melintas mereka. Hish, dah tak boleh nak pusing ke lain dah. Alah, jalan sajalah’ Alina berjalan dengan perlahan mengharapkan Afiq tak memandang ke arahnya.
Tiba-tiba alat tulisnya bertaburan saat dia betul-betul berjalan di sebelah Afiq.
                ‘Aduh, macam mana boleh terlupa nak zip pencil case ni. Matilah aku’ Alina terus tunduk mengutip alat tulisnya.
Afiq memandang gadis sebelahnya mengutip alat tulis. Timbul rasa kasihan melihat gadis itu mengutip alat tulisnya menggunakan sebelah tangan kerana sebelah tangannya memegang laptop. Afiq turut tunduk untuk membantu, dia rasa seperti kenal bau minyak wangi ini. Seperti.. ALINA!
                “Ah, tak mungkin Alina, Alina tak memakai tudung” Afiq cuba mencapai pen gadis itu. Tiba-tiba Afiq terpegang tangan gadis itu. Gadis itu menyentap tangannya lalu mata mereka bertentang. ALINA!
Tangan Afiq terpaku, matanya masih tak berhenti menatap Alina dalam imej yang baru itu.
                ‘Cantiknya’ hati Afiq tiba-tiba berdegup laju. Seperti saat pertama kali mereka berjumpa 2 tahun lalu. Tapi kali ini Alina kelihatan sangat cantik. Wajahnya berseri-seri dan ayu.
Alina terus bangun dan berlalu tanpa mengucap sepatah kata. Air mata yang ditahan akhirnya menitis dan makin deras. Betapa rindunya dia pada renungan Afiq. Renungan yang dulunya membuat dia terbuai-buai. Perasaannya bertambah pilu disaat Afiq menyentuh tangannya, dia merindui kehangatan tangan Afiq. Sesungguhnya rindu itu benar-benar menyesakkan dadanya kini.
Alina merebahkan tubuhnya di katil. Air matanya kini mengalir hebat membasahi pipi mulusnya. Alina membuka diari lamanya. Terpampang gambar Afiq sedang mencubit pipinya. Kelihatan sungguh bahagia tanpa menyangka dia akan berduka sebegini. Alina terus memejamkan matanya sambil memeluk gambar mereka. Mengharapkan semua yang terjadi tadi hanyalah mimpi. Farah yang baru pulang dari aktiviti kelab melihat Alina tertidur sambil memeluk gambarnya bersama Afiq.
                ‘Rindu benar Lina pada Afiq’ Farah terus mendail Dani.

Dani melihat Afiq termenung dan mengeluh. Kelihatan hati Afiq sedang menanggung perasaan yang berat. Kerana Alinakah? Afiq memicit kepalanya yang terasa berdenyut. Sejak-sejak ini banyak masalah menimpanya membuatkan fikirannya begitu runsing. Atau mungkin kerana gadis bernama Alina Aisa. Benar hatinya memendam rasa rindu terhadap gadis itu. Gadis yang riang selalu tertawa, manjanya, dan gadis itu gemar membuat mimik muka yang bisa membuat diri Afiq tertawa. Sungguh gadis itu teramat istimewa. Namun apa daya, kesilapannya membuatkan Alina hilang dari hidupnya. Gadis itu terlalu terluka.
“Kau ni dah kenapa? Termenung, mengeluh macam kucing hilang anak” Dani cuba berbasa-basi dengan Afiq. Kesian juga dia melihat keadaan Afiq. Alina kelihatan sudah bagun dari kesakitan tapi Afiq pula makin rebah kelukaan. Ini kerana perbuatan Afiq juga, apa yang mahu dikesalkan lagi.
Hari itu merupakan hari terakhir buat Alina dan Farah berada di kolej itu. Kini mereka sedang menerima Diploma mereka setelah 3 tahun menuntut ilmu. Alina menerima anugerah pelajar terbaik untuk falkutinya. Alina tersenyum riang, begitu juga Farah dan keluarga Alina.
                ‘Kau hebat Alina, setelah segala kesakitan yang tempuhi. Kau tetap berjaya’ Farah mengesat air matanya.
Dari jauh Afiq melihat Alina tertawa bahagia bersama keluarganya. Afiq merasa bangga dengan kejayaan Alina meski pun dia nyaris membuatka gadis itu gagal. Namun Alina memang seorang yang tabah.
                ‘You are my Superwomen, Alina’ Afiq terus masuk ke dalam kereta dan pulang menuju rumahnya.

4 tahun berlalu

Pagi itu Alina bersiap-siap ingin ke meseyuarat penting. Entah kenapa pagi itu Alina berasa jantungnya
berdegup laju. Namun dia abaikan perasaannya itu. Dia harus yakin supaya tender itu berjaya diraihnya.
“Semoga berjaya Alina. Saya yakin awak mampu mendapatkan tender itu. Sebab awak pekerja terbaik
saya.” Kata-kata Dato Murad benar-benar memberi semangat kepadanya.

Keretanya meluncur lancar ke Hotel Sri Malaysia. Dalam hatinya tak berhenti berdoa agar semuanya dipermudahkan. Tepat jam 10 pagi dia sampai di hadapan Hotel Sri Malaysia. Dengan langkah penuh yakin dia menuju ke restoran.
                “Hai, selamat pagi. Saya ada temu janji dengan Encik Zarul dari syarikat Bina Jaya.” Alina melemparkan senyuman kepada pelayan restoran di hadapannya.
                “Oh, ya. Mari ikut saya. Encik Zarul baru saja sampai tadi” gadis itu tersenyum ramah.
Setelah gadis itu menunjukkan meja Encik Zarul, dia terus berlalu. Entah kenapa hati Alina kembali berdebar. Sedangkan tadi hatinya begotu yakin dan tenang. Dia melihat susuk tubuh lelaki itu dari belakang. Kelihatan seperti orang muda.
                ‘Ah, lelaki korprat sekarang tua atau muda semua bergaya’ Alina menyedapkan hatinya.
Alina terus berdiri di hadapan lelaki itu. Lelaki tu masih khusyuk memang menu.
                “Maaf, ini Encik Zarul?” Alina menyapa sopan. Lelaki itu memandangnya. Bibirnya bagai terkunci, kakinya lemah. AFIQ!!
                “Ya, saya Zarul. Silakan duduk Cik Alina.” Alina masih kaku berdiri. Dia seolah-olah bermimpi. Setelah 4 tahun, baru kini dia bertemu Afiq.
                “Awak nak saya ‘tolong’ dudukkan awak?” lelaki itu bersuara serius. Alina seolah-olah tersedar dan terus duduk di hadapan lelaki itu. Alina cuba bertenang dan bersikap professional di hadapan lelaki itu.
                “Maafkan saya. Saya terlewatkah?” Alina bersuara perlahan. Zarul memandang tepat ke arah Alina. Dia bingung kenapa dia seolah-olah pernah melihat gadis itu.
                “Taklah. Saya pun baru tiba. Baiklah kita teruskan berbincang sementara makanan yang saya tempahkan tadi tiba. Awak tak kisahkan saya tempah untuk awak?” Alina menggelengkan kepalanya.
Mereka berbincang tentang tender yang akan ditawarkan kepada syarikat Wira Maju. Sesekali mata Alina mencuri pandang ke arah Zarul. Tak mungkin Afiq, kerana Afiq tak ada parut di kening. Namun begitu, renungan mata itu sama seperti Afiq. Tak lama selepas itu makanan mereka tiba.
Nasi goring sotong dan Nasi Ayam berlada.
                ‘Eh, macam mana dia tahu kegemaran aku Nasi Goreng Sotong. Rezeki akulah” Alina tersenyum melihat hidangan di hadapannya. Seleranya terus bangkit seketika tadi hilang.
                “Awak suka Nasi Goreng Sotong? Saya order sebab nampak macam sedap pula” Alina hanya mengangguk. Entah kenapa hatinya rasa malu. Alina terus menjamah hidangannya setelah selesai membaca doa.
Zarul merenung Alina yang berselera sekali menjamu Nasi Goreng Sotong. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa ingin mencuba. Sedap sangkatkah.
                “Err… nasi awak nampak sedaplah. Apa kata kita tukar makanan. Sebab nasi awak Nampak lagi sedap dari nasi saya. Boleh tak?” Alina nyaris tercekik. Cepat-cepat dia meneguk air laicinya. Alina memandang ke arah Zarul.
                ‘Biar betul mamat ni nak tukar makanan dengan aku. Hish..perangai sama macam… AFIQ!’ hati Alina semakin berombak kencang. Dia terdiam dan melihat saja Zarul menukar pinggan mereka. Kini Nasi Ayam Berlada berada di hadapannya. Zarul menjamah penuh selera nasinya.
                “A’ah la awak. Sedap nasi ni. Kalau saya tahu saya order yang sama dengan awak” Zarul tersenyum. Alina menyuap perlahan nasinya.
               
                “Alah! Awak ni, suka ambil nasi saya. Kan kita order sama ja. Kenapa nak kena tukar pinggan pula. Dahlah nasi awak tu banyak lagi.” Alina memprotes bila Afiq menukar pinggan mereka. Afiq hanya tertawa melihat Alina sudah muncung.
                “Nasi awak Nampak sedaplah. Ala.. janganlah berkiranya sangat.” Afiq tersenyum.
                “Kan masak sekali. Saja nak buli sayalah ni” Alina terus muncung sambil menyuap nasi ke mulutnya.
                “Kita boleh teruskan perbincangan kita.” Zarul mula bersuara. Alina tersentak. Jauh sungguh kenangan lalu bertandang.

Walaupun hampir 2 bulan berlalu, peristiwa di restoran Hotel Sri Malaysia masih terkesan di hatinya. Siapakah Zarul? Kenapa wajahnya mirip Afiq.
Hari itu merupakan hari bahagia Farah dan Dani. Siapa sangka percintaan mereka secara rahsia di kolej akhirnya menemui jalan bahagia. Farah yang anggun berbaju pengantin bewarna merah hati, Dani kelihatan kacak dengan persalinan seperti panglima Melayu. Terbit rasa cemburu di hati Alina, namun dia berdoa semoga jalan cinta mereka tak kecundang sepertinya.
                “Tahniah Farah. Aku doakan kau orang bahagia sampai jadi moyang.” Alina terus tertawa. Begitu juga Farah dan Dani.
                “Hai… Sorry Dani aku terlewat.” Alina seolah-olah pernah mendengar suara itu. Milik Afiqkah? Alina terus memalingkan wajahnya. AFIQ!
                “It’s ok bro lagi pun majlis belum tamat.” Dani memaut mesra bahu Afiq. Afiq memandang ke arahnya.
                “Hey, awak Cik Alina kan? Awak ingat saya lagi? Zarul.” Alina seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Kemudian dia tersedar bila lelaki itu menyapanya. Zarul…
                “Err… kau dah jumpa Alina?” Dani kelihatan gugup.
                “Yela… dia pekerja dari syarikat yang terima tender dari syarikat aku.” Zarul tersenyum.
                “Oh… kalau macam tu aku tak payah kenalkan kau dengan Zarullah, Lina. Sebab dia awal lagi dah kenal  kau,” Dani tersenyum namun kelihatan kekok.

Pagi itu Farah menyediakan kopi untuk Dani. Dia melihat Dani asyik termenung. Entah apa yang dia fikirkan sehingga begitu khusyuk.
                “Abang… ini kopinya. Kenapa Abang menung jauh sangat. Dah sampai ke Paris agaknya.” Farah mengambil tempat di sebelah suaminya.
                “Tak ada apalah. Cuma Abang fikirkan tentang Alina dan Zarul. Patutkah kita terus terang kat mereka?” Farah turut mengeluh, faham kerunsingan suaminya itu.
                “Kalau kita terus terang pun Zarul tak akan paham. Lina pula bertambah keliru.” Farah turut buntu.
                “Mana mana nak terangkan kat Zarul kalau dia tu Afiq. Dan macam mana nak terangkan Alina yang Zarul tu Afiq. Aduh, pening kepala Abang,” Dani memicit kepalanya. Farah membantu suaminya. Kasihan pula dia melihat keadaan suaminya itu.
                “Err… Lina, kau busy tak? Aku ingat nak jumpa kaulah Sabtu nanti. Boleh tak?” Farah cuba sembunyikan kegugupannya.
                “Sabtu ni aku free. Bolehlah… eh… cik Abang kau tak marah ke aku jumpa dengan kau ni. Kau orangkan still dalam mood bulan madu.” Alina mengusik kawan baiknya itu. Farah tertawa.

                “Zarul, kau ada rumah tak? Aku nak jumpa kau kejap eh.” Dani benar-benar ingin menyelesaikan kemelut ini.
                “Aku ada. Datanglah, bawak wife kau sekali.” Zarul cukup seronok bertemu rakan baiknya itu.

Petang itu kehadiran Dani dan Farah kelihatan lain sekali. Mereka asyik mendiamkan diri. Zarul merasakan sesuatu yang tak kena dengan mereka berdua.
                “Kau orang ni kenapa? Diam saja dari tadi.” Zarul terasa janggal melihat keadaan mereka.
                “Zarul, kau tahukan kita dah lama kawan. Tapi ada satu benda yang kau tak tahu.” Dani memulakan bicara. Terasa kelat butir bicaranya. Zarul terus menumpukan perhatiannya.
                “Kau tahukan nama penuh kau Afiq Zarul. Tapi dulu kau lebih dikenali sebagai Afiq, dan dalam temph 4 tahun ini baru nama Zarul digunakan” Zarul bingung.
                “Masa kau sedar dari koma dulu. Ingatan kau hilang 50%. Kau cuma ingat orang yang sudah lama kau kenal. Kawan-kawan kita masa study dulu pun kau lupa. Cuma aku yang kau ingat kerana kita kawan dari sekolah menengah. Hmm… termasuk Alina pun kau lupa.” Zarul tersentak.
                “Apa kaitan Alina dengan aku?” Zarul keresahan. Perasaannya menjadi lain apabila nama Alina disebut. Sebenarnya perasaan itu hadir bila pertama kali bertemu Alina di Hotel Sri Malaysia 2 bulan yang lalu.
Dani mengeluarkan kotak bewarna merah. Kemudian Dani mengeluarkan puluhan surat dan sebuah album gambar. Dani menghulurkan kepadanya. Dia melihat surat-surat itu. Hatinya berdebar kencang, dia seolah-olah pernah membaca surat itu. Gambar-gambar seorang lelaki bersama Alina. Dirinyakah! Tapi kenapa dia tidak mengingati semua itu. Wajah Alina yg comel ketika itu sedikit berbeza dengan Alina yang dia lihat sekarang, lebih anggun.
                “Alina kekasihmu dulu Afiq. Kekasih yang pernah kau lukai semasa semester akhir.” Farah menahan sendu bila nama Afiq disebut setelah hampir 4 tahun dia memanggil lelaki itu sebagai Zarul.
                “Kenapa aku tak mengingatinya kalau benar dia sebahagian hidupku? Kenapa kau orang memanggil aku Zarul kalau dulu kau orang panggil aku Afiq?” Zarul kian buntu.
                “Keluarga kau yang mahu begitu. Semasa kau dah sedar kau masih belum sembuh sepenuhnya. Kau hanya menyebut nama Alina. Kau sering bertanya siapa Alina, tapi kau tak mengingati wajahnya. Ibu kau risau dengan keadaan kau. Jadi kami cuba menyembuhkan kau dengan membuka buku baru. Lama-lama kau berhenti bertanya siapa Alina. Malah kau langsung tak ingat padanya.” Dani meneruskan penjelasannya.
Zarul cuma ingat dia sedar ketika itu dia terlantar di hospital. Ibunya memberi tahu mereka kemalangan ketika baru pulang dari hari konvokesyennya. Zarul koma selama sebulan. Ahli keluarganya yang lain hanya cedera ringan. Entah mengapa hatinya jadi sayu memikirkan Alina. Benarkah gadis itu pernah bertakhta di dalam hatinya.

                “Benarkah apa yang kau cerita ni Farah. Kau tak reka-reka cerita kan?” air mata Alina menitis deras. Rasa rindu yang berkubur lama kini menjelma kembali. Segala kenangan terbayang di matanya. Afiq Zarul, ya! Bagaimana dia tidak teringat nama penuh Afiq dulu sedangkan mereka orang yang sama.
                “Ya… aku tak tipu Alina. Dialah Afiq. Maafkan aku kerana menyembunyikan hal ini. Aku dah berjanji kepada Dani dan itu kewajipanku menyimpan janji.” Farah memohon pengertian Alina dan berharap Alina tak menyalahkan dirinya.
                “Aku faham. Erm.. aku nak jumpa Zarul, er..maksud aku Afiq. Boleh?” Alina cuba memberanikan diri untuk berhadapan Afiq.

Hari itu mungkin hari perhitungan mereka. Mungkin juga hari terakhir mereka berjumpa. Afiq tidak mengingati dirinya mana mungkin rasa sayang dalam hatinya masih ada buat Alina.
                “Awak tahukan kenapa saya nak berjumpa awak?” Alina bersuara setelah hamper 10 minit mereka mendiamkan diri.
                “Ya… saya tahu. Tapi saya ingin beritahu awak. Mungkin benar dulu kita punya perasaan cinta. Tapi sekarang saya harap awak tahu yang saya tak mempunyai perasaan itu lagi.” Alisa bungkam, hatinya terasa begitu terhiris.
                “Saya tak mahu tahu lagi cerita tentang kita. Itu semua membuatkan fikiran saya bertambah celaru. Cukup-cukuplah apa yang Dani dan Farah ceritakan. Saya memang tak mampu mengingati semua itu! Jangan mendesak saya.” Afiq bersuara tegas menyatakan rasa hatinya.
                “Ya… saya faham. Saya tak minta awak ingat semua itu lagi. Saya Cuma nak pulangkan cincin pemberian awak dulu. Selama kita bercinta 2 tahun dan setelah kita terpisah 4 tahun bermakna 6 tahun saya memakai cincin ini. Saya rasa tak perlu lagi saya menyimpannya. Lebih-lebih lagi awak sudah tak mengingati saya dan cerita kita dulu. Lagipun saya akan bertunang tak lama lagi. Saya Cuma nak pulangkan cincin ini kerana jari ini akan disarungkan cincin yang baru.” Alina menghulurkan cincin kepada Afiq. Afiq masih mendiamkan diri. Alina mengeluh perlahan.
                “Ini kali terakhir kita jumpa dan saya juga akan melupakan awak seperti mana awak tak mahu mengingati saya lagi.” Alina bingkas bangun dan meninggalkan Afiq yang masih membisu.
Entah kenapa hati Afiq bagai terhiris hebat apabila Alina memberitahu yang dia akan bertunang tak lama lagi. Dia sendiri bingung dengan perasaannya. Adakah benar,kasihnya buat Alina dulu begitu kuat. Afiq memandang gambar mereka. Afiq memandang siling biliknya, terasa kosong. Tiba-tiba bagai ada sebuah skrin besar memaparkan dirinya bersama Alina, Dani dan Farah. Segala cerita seolah-olah di tayang semula. Dia terlihat bagaimana Alina terluka atas kecurangannya. Semuanya terpapar satu-persatu, pandangannya kelam dan terus gelap. ALINA….
Puas Alina menangis malam tadi. Entah kenapa dia perlu berbohong kepada Afiq dengan mengatakan dia akan bertunang. Ah, fikirannya bercelaru. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan masuk.
                ‘Mungkin Afiq terlewat mengingati Alina. Mungkin Afiq ego kerana cuba membuang Alina. Mungkin selama 4 tahun Afiq tak pernah cuba mengingati Alina. Andai rasa kasih ini tiada pasti resah tidak akan bertandang. Andai cinta sudah mati, pasti diri ini tak akan mencarimu lagi. Alina comot, Afiq keding rindukan Alina. J ‘ Air matanya tertumpah deras! Dia memeluk telefon bimbitnya.
                ‘Afiq ada kat depan rumah Lina’ Lina bingkas bangun dan berlari menuju ke pintu.
Dia melihat Afiq sedang berdiri memegang sebuah kotak. Afiq menghulurkan kotak itu.
                “Hamster awak dulu dah matikan. Saya gantikan yang baru ya. Kita jaga sama-sama ok?” Alina tak mampu menahan hatinya. Dia memeluk Afiq seerat-eratnya. Rindunya kini terbalas.
Kalau inilah akhirnya penantiannya 4 tahun, 100 tahun pun akan dia tunggu. Afiq Zarul, satu-satunya lelaki yang bertakhta di hatinya. Dulu kini dan selamanya… benarlah kalau dia jodohku, sejauh mana aku berlari dia tetap milikku.

Nukilan,
NeenaLee